Thursday, January 1, 2009

Laporan Media Mesti Tepat

Pihak media sekali lagi diingatkan agar menyampaikan maklumat tepat dan terkini kepada rakyat terutama menjelang pilihan raya kecil Perlimen Kuala Terengganu kali ini. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menganggap sebagai petugas media, mereka memikul satu tanggungjawab berat dalam dalam melaporkan sesuatu isu bagi memastikan setiap laporan bersih daripada sebarang unsur fitnah yang boleh menjejaskan mana-mana pihak.

Menurut beliau, petugas media bukan sahaja perlu memiliki ‘telinga yang hebat’ tetapi juga perlu mempunyai pemikiran yang tajam kerana kebiasaannya isu-isu yang dibangkitkan sepanjang pilihan raya banyak yang sensitif dan pihak media perlu peka dan tidak menyentuh atau melaporkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti banyak pihak.

Ketika berucap merasmikan pusat media khusus untuk pilihan raya kali ini, beliau turut menyuarakan rasa kesal terhadap tindak tanduk pembangkang yang tidak henti-henti membangkitkan isu yang pada anggapan beliau sudah tidak lagi relevan dan boleh mengelirukan rakyat terutamanya isu royalti minyak.

Sambil menganggap pembangkang tidak mempunyai modal, beliau menegaskan isu pembayaran royalti minyak kepada Terengganu oleh Kerajaan Pusat sudah selesai di mana bayaran pertama akan dibuat pada Mac 2009 dan seterusnya pada September berikutnya di mana pembayaran dibuat dua kali setahun.

Beliau turut menyangkal dakwaan pembangkang bahawa royalti minyak tidak membawa banyak manfaat kepada penduduk Terengganu sebaliknya menganggap bayaran tersebut telah banyak mengubah lanskap negeri tersebut. Selain membangunkan kemudahan prasarana, dana tersebut banyak disalurkan untuk tujuan pembangunan pendidikan anak-anak negeri.

Buktinya, selama lapan tahun berturut-turut Terengganu kekal di tangga pertama dalam pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Begitu juga dengan peningkatan kecemerlangan yang ditunjukkan melalui pencapaian pelajar-pelajar di seluruh Terengganu dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan dalam bajet negeri tahun ini, akan lebih banyak tumpuan dan perhatian diberikan untuk pembangunan negeri. Antaranya termasuklah memperuntukan RM100 juta untuk pembangunan ladang kelapa sawit dan RM50 juta untuk projek penanaman padi di mana kedua-duanya bertujuan untuk mempertingkatkan pencapaian ekonomi penduduk miskin.

Mengenai tuduhan berterusan yang dibangkitkan oleh pembangkang tentang isu undi hantu, Ahmad Said mengatakan rasa kesal kerana menurut beliau sudah sampai masanya semua pihak bersikap rasional dan matang dalam isu ini. Menurut beliau isu tersebut sudah lama berlalu dan terbukti tidak benar kerana pembangkang sendiri pernah menguasai Terengganu dan Kelantan serta di empat negeri dalam pilihan raya lalu. Tetapi setiap kali pilihan raya, isu tersebut terus dibangkitkan untuk mengelirukan rakyat. -nganukite.blogspot.com

No comments: