Tuesday, January 6, 2009

Ahli Parti Perlu Ada Jiwa

Muhamad Irfan
Malaysiaaktif.com

Boleh dikatakan hampir ke semua pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO hadir pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Pergerakan Sayap Barisan Nasional di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Ia juga menjadi tanda sokongan tidak berbelah bagi parti kepada calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.


Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini cukup penting bagi BN, juga akan menjadi satu petunjuk jelas kepada BN selepas kekecewaan pada Pilihan Raya Umum Ke12 lalu. Menurut beliau, walaupun banyak ulasan dibuat tentang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini yang dianggap sebagai satu ujian kepada Perdana Menteri Dato, Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga bukan buat diri beliau mahupun Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tetapi adalah untuk parti dan rakyat.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan tentang tema Mesra Rakyat dan pentingnya tema tersebut didalami maksudnya dalam prespektif yang lebih luas dan bukan hanya setakat menjadi mainan di bibir pasukan jentera pergerakan sayap BN pada pilihan raya kali ini. Seperti kata beliau, orang kampung tidak pandang kepada tingginya pendidikan seseorang, latar belakang kehidupan kita tetapi apa yang lebih mereka pentingkan ialah kesopanan. Atau dengan bahasa yang lebih mudah, cuba memahami adat dan budaya setempat, kena ikut cara dan adat orang-orang di kampung.

Dalam ucapannya Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut menegaskan bahawa matlamat paling penting dalam menghadapi pilihan raya kecil kali ini ialah untuk memperkuatkan BN untuk kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama beliau mengingatkan agar calon-calon yang bakal bertanding dalam pemilihan parti Mac nanti menolak ke tepi kepentingan peribadi dan ini bukan lah masa yang sesuai untuk menyebarkan kepentingan atau agenda politik masing-masing.

Seperti yang beliau katakan, kekalahan BN dalam pilihan raya lalu dan terbaru di Permatang Pauh berpunca daripada sikap ahli-ahli parti. Cemburu sesama sendiri, dengki mendengki dan cantas mencantas. Menurut beliau penyakit ini lah yang merosakkan parti dan sudah tiba masanya parti melalui proses reform untuk mengembalikan semua rakyat kepada parti.

Datk Seri Najib Tun Abdul Razak juga mengingatkan agar setiap ahli mempunyai rasa sayang kepada parti melebihi segala-galanya. Berbanding masa lalu, orang berkerja semata-mata untuk parti dan tidak ada kekayaan yang ingin dikejar. Beliau menganggap, hari ini ahli parti begitu lemah daripada segi jiwa. Apa yang beliau ucapakan itu jika diamati memang ada kebenarannya. Kebanyakan golongan muda yang menyertai parti hari ini hanya menjadi pengikut semata-mata tanpa memahami falsafah dan perjuangan sebenar parti akibatnya mereka tidak ada’jiwa’ dalam perjuangan dan parti.

Seperti kata beliau, jika BN dan UMNO ingin dipulihkan, ahli parti perlu yanya pada diri sendiri. Tidak ada ubat yang lebih mujarab selain kesedaran di kalangan ahli parti. Hari ini bukan lagi masa untuk berretorik tetapi berusaha untuk melangkah ke depan, menjaga moral, menguasai teknologi dan ilmu kerana terbukti BN dan UMNO pada hakikatnya masih disisi rakyat. Cuma apa yang diperlukan adalah komitmen ahli parti untuk melengkapkan sebuah perjuangan.

No comments: