Saturday, January 17, 2009

Lebih ramai penyokong Pas di pusat mengundi

KUALA TERENGGANU - Jika bilangan penyokong di 36 pusat mengundi menjadi pembayang keputusan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Pas menunjukkan kelebihan.

Lambang hijau Pas kelihatan lebih banyak daripada lambang biru BN yang dikibarkan oleh para penyokong mereka yang juga ketara lebih ramai di sepanjang jalan ke pusat-pusat mengundi. Dibantu oleh penyokong-penyokong PKR yang turut bekerja keras sepanjang kempen, kelompok mereka lebih bising dan lebih ke depan daripada penyokong-penyokong BN.

Kebanyakan pemerhati politik meramalkan pilihan raya kecil ini akan dimenangi oleh Pas.

Bagaimanapun, seorang tokoh UMNO dari Kemaman memberitahu Malaysia Aktif dengan penuh keyakinan pagi ini:`` BN boleh menang.''

Calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46 dan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 51 adalah antara mereka yang awal keluar mengundi.

Wan Farid mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar pada jam 8.02 pagi bersama isterinya Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab.

Cuaca pada pagi ini cerah berbanding beberapa hari yang lalu, mendorongkan Wan Farid berkata kepada wartawan:`` Saya harap ini petanda kemenangan BN.''

Bagaimanapun, Jabatan Metreologi meramalkan hujan akan turun pada sebelah petang.

Pilihan raya kecil tiga penjuru ini diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu selama dua pengal berturut-turut selepas memenanginya kali pertama pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 1,933.

Sebelum itu, dalam plihan raya 1999, Pas menawan kawasan ini dengan majoriti 14,488 undi.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, Razali mempertahankan kerusinya dengan menwaskan con Pas Mohamad Sabu dan calon bebas Maimun Yusuf, dengan majoriti 628 undi.

Kira-kira 6,000 anggota polis berkawal di merata tempat, menjadikan kawalan keselamatan pilihan raya kecil ini sebagai yang paling ketat dalam sejarah. - malaysiaaktif.com

BASHIR AHMAD
17 Januari 2009

No comments: