Wednesday, January 14, 2009

Lagi....Pas kluk-klek!



KUALA TERENGGANU - `Kluk-klek' adalah istilah orang Terengganu yang bermaksud `main-main, tidak serius, mudah berubah.' Jika seseorang digelar `kluk-klek' maka orang itu dianggap tidak boleh dipercayai.


Pas Kluk-Klek adalah tema kempen Barisan Nasional yang berlangsung di padang letak kereta Pasar Cabang Tiga malam tadi. Tiga hari sebelum itu, di situlah juga Pas membuat persembahan nasyid dan dikir barat yang diselang-seli dengan ceramah tiga hari sebelumnya. Barangkali BN mahu membersihkan kesan kempen luar biasa Pas itu.

Tempat letak kereta itu terletak di tepi jalan menuju ke Losong, kawasan yang lambang Pas kelihatan lebih banyak terpampang daripada lambang BN, sama ada pada poster, bendera atau sepanduk. Losong juga adalah tempat jualan kerepok lekor yang diangap paling sedap oleh orang-orang Terengganu. Dari segi istilah politik, kawasan ini boleh dianggap sebagai kawasan sama ada hitam atau kelabu bagi BN.

Sebab itulah BN mengadakan kempen yang luar biasa sedikit di situ pada malam itu.




Hujan lebat dan kemudiannya renyai-renyai tidak menghalang orang ramai datang untuk mendengar kempen yang dinamakan `Malam Masihkah Kau Ingat,' mengambil sempena tajuk sebuah lagu nyanyian kumpulan Kopratasa. Bermula lewat sedikit kira-kira jam 9.20 malam kerana hujan lebat, jumlah orang ramai yang datang lebih ramai daripada khalayak persembahan kesenian dan ceramah Pas sebelumnya.

Majlis BN ini lebih hingar-bingar kerana diiringi sekumpulan pemuzik yang memukul gendang bertalu-talu dan meniup terompet setiap kali penceramah-penceramah tampil ke rostrum bermikrofon untuk memulakan ucapan. Jika penceramah menyatakan sesuatu yang difikirkan mempunyai hujah untuk memperkuatkan dakwaan bahawa Pas kluk-klek, maka kumpulan pemuzik itu mencelah dengan paluan gendang yang cukup kuat untuk `mengiakan' apa yang dicakap.

Pendek kata, cukup gamat kempen BN pada malam itu.

Majlis dimulakan di atas pentas dengan persembahan nyanyian satira seorang lelaki yang diiringi petikan getar dan paluan rebana. Liriknya yang penuh sindiran dan tempelak terhadap Pas, diselangi dengan laungan `Pas Kluk-Klek' oleh sebilangan penonton di barisan hadapan.

Kemudian tampil silih berganti bekas ahli-ahli Pas dan PKR untuk mendedahkan kepada umum mengapa mereka keluar daripada parti masing-masing? Dua tiga orang daripada mereka bercakap dengan nada keras dan bersuara nyaring. Kata mereka kepada penonton, setiap kali bercakap mengenai Pas mereka tidak dapat mengawal perasaan kerana `naik angin.'

Salah seorang daripada mereka ialah Omar Khalid, bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang pernah aktif dalam parti itu selama 35 tahun. Beliau bercakap lebih tenang. Katanya, Pas tidak boleh dipercayai kerana dulu menuduh UMNO kafir, tapi sekarang bersahabat dengan PKR dan DAP.

Omar juga mendedahkan betapa dalam Peristiwa Memali yang berlaku pada 1985, tanah-tanah kubur ahli-ahli Pas yang terkorban dalam pertempuran dengan FRU telah direnjis dengan minyak wangi supaya baunya yang harum membangkitkan sangkaan betapa mereka mati dalam kemuliaan. Kata Omar, beliau sendiri menyaksikan kerja merenjis minyak wangi itu.

Seorang lagi penceramah yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas Ketua Penerangan PKR Terengganu menceritakan betapa beliau juga pernah menjadi ahli Pas sejak remaja. Katanya, beliau meninggalkan parti itu apabila menyaksikan orang-orang Pas enggan menyembahyangkan jenazah ayah saudaranya penyokong UMNO. Beliau menyertai PKR tetapi akhirnya juga hilang kepercayaan terhadap parti sahabat baru Pas itu.

Juruacara majlis setiap kali memegang mikrofon menyelitkan pantun. Salah satu berbunyi:

``Wau-wau bulan,
wau-wau putih,
dulu semua haram,
sekarang semua boleh.''

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada jam 10.20 malam dan turut berucap.

Najib melontarkan pelbagai pertanyaan...termasuk siapa buat masjid di Terengganu...siapa bawa ICT ke masjid...siapa di sebalik kejayaan pelajar-pelajar Terengganu mencatatkan keputusan terbaik di Malaysia dalam peperiksaan UPSR selama 8 tahun berturut-turut? Setiap kali beliau melontarkan pertanyaan, sebahagian penonton menjawab `BN !'

Najib mengakhiri ucapannya dengan menegaskan bahawa umat Islam tidak akan maju hanya dengan slogan.

``Kita hanya boleh menjadi umat yang kuat dengan keimanan, ketakwaan, penguasaan sains dan teknologi serta membangunkan ekonomi berasaskan prinsip Islam yang kini terbukti menjadi alternatif terbaik kepada sistem kewangan konvensional yang menjadi punca krisis kewangan global dan kemelesetan ekonomi dunia,'' katanya. - malaysiaaktif.com

DIARI KUALA TERENGGANU
Bahagian 11

BASHIR AHMAD
13 Januari 2009

1 comment:

simen said...

tak tau nak percaye yg mane... yg baik nampak jahat tapi yg jahat nampak baik lak..

Sapela 'juara' PRK KT agaknye ekk??