Saturday, January 17, 2009

Lebih ramai penyokong Pas di pusat mengundi

KUALA TERENGGANU - Jika bilangan penyokong di 36 pusat mengundi menjadi pembayang keputusan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Pas menunjukkan kelebihan.

Lambang hijau Pas kelihatan lebih banyak daripada lambang biru BN yang dikibarkan oleh para penyokong mereka yang juga ketara lebih ramai di sepanjang jalan ke pusat-pusat mengundi. Dibantu oleh penyokong-penyokong PKR yang turut bekerja keras sepanjang kempen, kelompok mereka lebih bising dan lebih ke depan daripada penyokong-penyokong BN.

Kebanyakan pemerhati politik meramalkan pilihan raya kecil ini akan dimenangi oleh Pas.

Bagaimanapun, seorang tokoh UMNO dari Kemaman memberitahu Malaysia Aktif dengan penuh keyakinan pagi ini:`` BN boleh menang.''

Calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46 dan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 51 adalah antara mereka yang awal keluar mengundi.

Wan Farid mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar pada jam 8.02 pagi bersama isterinya Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab.

Cuaca pada pagi ini cerah berbanding beberapa hari yang lalu, mendorongkan Wan Farid berkata kepada wartawan:`` Saya harap ini petanda kemenangan BN.''

Bagaimanapun, Jabatan Metreologi meramalkan hujan akan turun pada sebelah petang.

Pilihan raya kecil tiga penjuru ini diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu selama dua pengal berturut-turut selepas memenanginya kali pertama pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 1,933.

Sebelum itu, dalam plihan raya 1999, Pas menawan kawasan ini dengan majoriti 14,488 undi.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, Razali mempertahankan kerusinya dengan menwaskan con Pas Mohamad Sabu dan calon bebas Maimun Yusuf, dengan majoriti 628 undi.

Kira-kira 6,000 anggota polis berkawal di merata tempat, menjadikan kawalan keselamatan pilihan raya kecil ini sebagai yang paling ketat dalam sejarah. - malaysiaaktif.com

BASHIR AHMAD
17 Januari 2009

Thursday, January 15, 2009

BOIKOT PRODUK AMERIKA YANG TERSOHOR ANWAR IBRAHIM

Ezam: Anwar talam dua muka

NASIR SUKIMAN

15 Januari 2009

TALAM dua muka – itulah dia Anwar Ibrahim – siang hari di depan penyokongnya sebaik dipecat daripada kerajaan pada 1998, dia mengutuk dan mengecam Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi pada sebelah malam, apabila dia keseorangan, dia berasa kecewa dan memuji pula Perdana Menteri ketika itu lalu meminta dikasihani.

Isi hatinya yang gundah-gulana itulah menjadi kandungan surat pertama ditulis dan dikirimkan kepada Dr Mahathir oleh Ezam Mohd Nor, Setiausaha Politik Anwar Ibrahim ketika itu.

Orang yang tidak teguh pendiriannya itu kini memperkudakan sepenuhnya Pas walaupun Husam Musa (sekarang Naib Presiden Pas) sudah diberitahu oleh Ezam mengenai sikap, perangai dan betapa tidak berprinsipnya Anwar dalam hidupnya.

Semua ini didedahkan oleh Ezam di satu ceramah khas membongkar kandungan surat ditulis tangan dan ditujukan kepada Dr Mahahtir, pada Rabu malam, di markas Umno di Kampung Kubang Parit dalam kawasanundi Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Penduduk, penyokong UMNO dan kumpulan wartawan yang mula memenuhi kawasan markas dan sejak jam 8.00 malam lagi menunggu sehingga 11.25 tengah malam bagi Ezam memulakan pendedahan surat berkenaan.

Bagi bekas Ketua Pemuda Keadilan itu dan empat lagi bekas ketua exco Pemuda Keadilan iaitu Hamdan Taha (bekas timbalan ketua pemuda); Zahid Mat Arip (bekas naib ketua Pemuda ); Hamidzun Khairuddin (bekas ketua pemuda Keadilan Selangor) dan Azwanddin Hamzah (bekas ketua Pemuda Keadilan Wilayah Persekutuan) Anwar adalah orang yang harus dihindari dan tidak layak memimpin kerana sikap hipokritnya itu.

Dalam surat ringkas kepada Dr Mahathir itu, Anwar berkata dia , isteri dan anak-anaknya begitu terkejut dengan apa yang berlaku sekitar 2 September 1998 tetapi tetap memuji bekas PM kerana memastikan keselamatan keluarganya terjamin.

Kata Anwar, bapa dan ibunya juga meminta agar adik angkatnya iaitu Kusumatmadja yang ditahan dibebaskan dan tidak diapa-apakan.

Malah selanjutnya segala apa bantuan dan keprihatinan Dr Mahathir dan betapa getirnya keadaan Anwar tidak akan melupakan jasa baik PM itu.

Ezam menegaskan beliau hairan sikap talam dua muka Anwar itu terbawa-bawa hingga sekarang apabila dia tidak konsisten dalam memperjuangkan sesuatu seperti hukum hudud.

Bila di depan DAP, dia kata hudud tidak akan dilaksanakan tetapi kepada Pas ia patut pula untuk orang Islam saja.

Kepada Kit Siang, Anwar berkata:’”Brother Kit you don’t worry” tetapi kepada Hadi Awang dia mahu negara Islam ditegakkan.

Kesimpulan dalam ceramah hampir empat jam itu semua yang berucap menggesa pengundi Kuala Terengganu tidak memberi sokongan kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat serta sepatutnya memboikot ‘produk utama Amerika di Malaysia’ iaitu Anwar Ibrahim. -malaysiaaktif.com

Wednesday, January 14, 2009

Lagi....Pas kluk-klek!



KUALA TERENGGANU - `Kluk-klek' adalah istilah orang Terengganu yang bermaksud `main-main, tidak serius, mudah berubah.' Jika seseorang digelar `kluk-klek' maka orang itu dianggap tidak boleh dipercayai.


Pas Kluk-Klek adalah tema kempen Barisan Nasional yang berlangsung di padang letak kereta Pasar Cabang Tiga malam tadi. Tiga hari sebelum itu, di situlah juga Pas membuat persembahan nasyid dan dikir barat yang diselang-seli dengan ceramah tiga hari sebelumnya. Barangkali BN mahu membersihkan kesan kempen luar biasa Pas itu.

Tempat letak kereta itu terletak di tepi jalan menuju ke Losong, kawasan yang lambang Pas kelihatan lebih banyak terpampang daripada lambang BN, sama ada pada poster, bendera atau sepanduk. Losong juga adalah tempat jualan kerepok lekor yang diangap paling sedap oleh orang-orang Terengganu. Dari segi istilah politik, kawasan ini boleh dianggap sebagai kawasan sama ada hitam atau kelabu bagi BN.

Sebab itulah BN mengadakan kempen yang luar biasa sedikit di situ pada malam itu.




Hujan lebat dan kemudiannya renyai-renyai tidak menghalang orang ramai datang untuk mendengar kempen yang dinamakan `Malam Masihkah Kau Ingat,' mengambil sempena tajuk sebuah lagu nyanyian kumpulan Kopratasa. Bermula lewat sedikit kira-kira jam 9.20 malam kerana hujan lebat, jumlah orang ramai yang datang lebih ramai daripada khalayak persembahan kesenian dan ceramah Pas sebelumnya.

Majlis BN ini lebih hingar-bingar kerana diiringi sekumpulan pemuzik yang memukul gendang bertalu-talu dan meniup terompet setiap kali penceramah-penceramah tampil ke rostrum bermikrofon untuk memulakan ucapan. Jika penceramah menyatakan sesuatu yang difikirkan mempunyai hujah untuk memperkuatkan dakwaan bahawa Pas kluk-klek, maka kumpulan pemuzik itu mencelah dengan paluan gendang yang cukup kuat untuk `mengiakan' apa yang dicakap.

Pendek kata, cukup gamat kempen BN pada malam itu.

Majlis dimulakan di atas pentas dengan persembahan nyanyian satira seorang lelaki yang diiringi petikan getar dan paluan rebana. Liriknya yang penuh sindiran dan tempelak terhadap Pas, diselangi dengan laungan `Pas Kluk-Klek' oleh sebilangan penonton di barisan hadapan.

Kemudian tampil silih berganti bekas ahli-ahli Pas dan PKR untuk mendedahkan kepada umum mengapa mereka keluar daripada parti masing-masing? Dua tiga orang daripada mereka bercakap dengan nada keras dan bersuara nyaring. Kata mereka kepada penonton, setiap kali bercakap mengenai Pas mereka tidak dapat mengawal perasaan kerana `naik angin.'

Salah seorang daripada mereka ialah Omar Khalid, bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang pernah aktif dalam parti itu selama 35 tahun. Beliau bercakap lebih tenang. Katanya, Pas tidak boleh dipercayai kerana dulu menuduh UMNO kafir, tapi sekarang bersahabat dengan PKR dan DAP.

Omar juga mendedahkan betapa dalam Peristiwa Memali yang berlaku pada 1985, tanah-tanah kubur ahli-ahli Pas yang terkorban dalam pertempuran dengan FRU telah direnjis dengan minyak wangi supaya baunya yang harum membangkitkan sangkaan betapa mereka mati dalam kemuliaan. Kata Omar, beliau sendiri menyaksikan kerja merenjis minyak wangi itu.

Seorang lagi penceramah yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas Ketua Penerangan PKR Terengganu menceritakan betapa beliau juga pernah menjadi ahli Pas sejak remaja. Katanya, beliau meninggalkan parti itu apabila menyaksikan orang-orang Pas enggan menyembahyangkan jenazah ayah saudaranya penyokong UMNO. Beliau menyertai PKR tetapi akhirnya juga hilang kepercayaan terhadap parti sahabat baru Pas itu.

Juruacara majlis setiap kali memegang mikrofon menyelitkan pantun. Salah satu berbunyi:

``Wau-wau bulan,
wau-wau putih,
dulu semua haram,
sekarang semua boleh.''

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada jam 10.20 malam dan turut berucap.

Najib melontarkan pelbagai pertanyaan...termasuk siapa buat masjid di Terengganu...siapa bawa ICT ke masjid...siapa di sebalik kejayaan pelajar-pelajar Terengganu mencatatkan keputusan terbaik di Malaysia dalam peperiksaan UPSR selama 8 tahun berturut-turut? Setiap kali beliau melontarkan pertanyaan, sebahagian penonton menjawab `BN !'

Najib mengakhiri ucapannya dengan menegaskan bahawa umat Islam tidak akan maju hanya dengan slogan.

``Kita hanya boleh menjadi umat yang kuat dengan keimanan, ketakwaan, penguasaan sains dan teknologi serta membangunkan ekonomi berasaskan prinsip Islam yang kini terbukti menjadi alternatif terbaik kepada sistem kewangan konvensional yang menjadi punca krisis kewangan global dan kemelesetan ekonomi dunia,'' katanya. - malaysiaaktif.com

DIARI KUALA TERENGGANU
Bahagian 11

BASHIR AHMAD
13 Januari 2009

Tuesday, January 13, 2009

PAS Kluk Klek



Rata-rata mereka yang berucap di majlis Masih Kah Kau Ingat, anjuran Barisan Nasional di Chabang Tiga, Kuala Terengganu, bertemakan ungkapan ‘Kluk Klek’ (hari ini cakap lain, esok cakap lain), membongkar apa yang mereka sifatkan sebagai penipuan besar pemimpin-pemimpin PAS terhadap penyokong mereka. Kalangan mereka ini adalah penyokong setia PAS. Malah ada di antara mereka setia dengan perjuangan PAS selama 35 tahun.








Salah seorang penyokong PAS, Pak Rasik yang bergelumang dengan PAS selama 20 tahun, secara terbuka merasa tertipu. “Aku tidak marah dengan penyokong PAS, mereka sebenarnya kena tipu sama seperti saya. Sehinggakan saya sanggup mengetepikan ayah sendiri dan mertua semata-mata kerana perjuangan PAS yang menolak UMNO,” katanya.
Pengakuan serupa turut disuarakan oleh Umar Khalid, bekas ahli jawatankasa Dewan Ulama PAS Pusat yang berjuang selama 35 tahun dengan PAS. Beliau mengakui sepanjang tempoh tersebut telah melalui banyak pengalaman sehingga mendatangkan keinsafan untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.




“PAS kluk klek. Fatwa PAS berubah-ubah. Ibaratnya kalau kita naik bas, jadi pening dan muntah. Lebih baik kita picit loceng dan berhenti (turun). Banyak penyelewengan agama berlaku dalam PAS. Dulu PAS kata tidak boleh lantik orang bukan Islam menjadi rakan atau perintah negeri. Kini boleh belaka. Dulu kata itu ini haram, kini boleh belaka,” katanya.

Pembohongan PAS selama ini turut dijelaskan oleh Abdul rahman yang berjuang selama 18 tahun bersama parti itu. Katanya, memang sayang nak tinggalkan perjuangan PAS. Tetapi banyak perkara yang mengubah fikirannya. Kesempatan berucap di majlis tersebut beliau turut menyeru golongan muda agar jangan sesekali mempermainkan politik.
“Cukup lah pembohongan yang dilakukan oleh PAS selama ini. Cukup dashyat. Daging lembu yang disembelih oleh orang UMNO, saya kambus. Ini lah yang ditanamkan oleh pemimpin-pemimpin PAS kepada pengikut mereka. Sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan. Ia sudah berakar umbi. Sembelih lembu jadi isu, nak makan kena tanya dulu. Siapa yang sembelih, orang UMNO ke PAS?

Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri itu, bekas-bekas pemimpin dan penyokong PAS, mengakui, pembohongan yang dilakukan oleh PAS selama ini berjaya mengaburi mata pengikut-pengikutnya.

Salah seorang penyokong PAS menganggap, bagi sesetengah pengikut PAS, meninggalkan PAS, seperti meninggalkan Islam. “Saya Islam dulu, PAS kemudian. Saya menyeru kepada semua agar jangan keliru dengan orang-orang yang berkepentingan ini. Tak jadi hal kalau kita tinggalkan PAS. Selama ini PAS banyak cakap sahaja tapi tak pernah buat apa pun,” katanya.

Katanya lagi, apa yang PAS cakap pada pandangan penyokong mereka semuanya betul. Kalau kita menolak PAS boleh mendatangkan syirik. “Jadi kita yang jahil ni tentu lah takut. Tapi bila PAS menang pada 2004, mereka berbaik dengan orang bukan Islam dalam Barisan Alternatif. Ini lah puncanya dari keluar dari PAS. Saya tidak boleh menerima apabila PAS boleh duduk semeja dengan DAP yang terang-terangan bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS,” katanya. -nganukite.blogspot.com

Monday, January 12, 2009

Kenapa Pakatan Rakyat tidak guna satu lambang?

KUALA TERENGGANU - ``Matlamat kita semua adalah sama...untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional,'' pekik Lim Kit Siang pemimpin de facto DAP kepada ribuan pendengar berkopiah yang duduk bersila di atas pasir di sebuah kawasan lapang di Kampung Tanjong, tepi muara Kuala Terengganu malam tadi.

Itu adalah ceramah perdana sulung Pakatan Rakyat untuk calon mereka, Abdul Wahid Endut dari Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berada di pentas itu dan berucap selepas Kit Siang.

Nada dan mauduk mereka adalah sama, iaitu meminta para pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu memilih Wahid bagi meneruskan gelombang `tsunami politik' yang melanda pada 8 Mac 2008, hari pilihan raya umum ke-12.

Di depan pentas itu, berkibar sehelai bendera besar Pas dan pada sebatang tiang lagi (lihat gambar) berkibar pula bendera Pas, PKR dan DAP. Bendera Pas yang lebih besar daripada dua bendera lagi berada paling atas. Di bawahnya ialah bendera PKR yang kecil sedikit, diikuti bendera roket DAP yang lebih kecil.






Apa salahnya jika bendera-bendera tiga parti itu sama besar sunguh pun majlis itu anjuran Pas dan berlangsung di kawasan Melayu yang menyokong parti kopiah putih itu? Bagi penulis, ia melambangkan satu muafakat politik yang tidak kukuh.

Anwar dalam ucapannya menegaskan bahawa kehadiran mereka membuktikan bahawa muafakat dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah kukuh, tidak sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh media perdana yang dkuasai BN.

Cakap-cakapnya itu hanya menambah kesangsian. Selepas hanya 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah lima negeri, perpaduan dan kemuafakatan Pakatan Rakyat yang dianggotai Pas, PKR dan DAP semakin diragui.

Di Selangor, Pesuruhjaya Pas Negeri Datuk Hassan Ali telah memberitahu media secara terbuka bahawa partinya tidak puas hati mengenai beberapa perkara yang tidak dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR. Pendedahan Hassan itu mengejutkan ramai orang kerana beliau adalah anggota exco kanan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor.

Di Perak pula berlaku pergaduhan peringkat bawahan antara Pas dan PKR. Terbaru berlaku pertikaman lidah antara pemimpin-pemimpin tinggi DAP dan Pas berhubung hukum hudud yang kata Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan. Kit Siang dan Karpal membantah keras.

Perkembangan ini mencetuskan pertanyaan. Jika baru 10 bulan memerintah negeri mereka sudah bertelagah, bagaimana mahu memerintah di peringkat persekutuan sebagaimana yang BN berjaya lakukan selama 51 tahun bermula dengan zaman kerajaan Perikatan.

Perbezaan ideologi yang sangat ketara dengan Pas memperjuangkan Islam, DAP mahu menegakkan Malaysian Malaysia (semua kaum sama rata) dan PKR masih dianggap sebuah parti yang wujud hanya sebagai alat kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, cita-cita yang tidak akan kunjung padam sehinga ke akhir hayatnya.

Apakah PKR, DAP dan PKR boleh mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil jika diberi peluang sedangkan muafakat dan kerjasama mereka sekarang hanyalah dikat longgar oleh matlamat untuk menumbangkan UMNO dan BN?

Jika dalam BN parti UMNO adalah jelas menjadi ketua dan Perdana Menteri bersilih ganti datangnya dari parti itu, kedudukan dalam Pakatan Rakyat adalah samar. Buat seketika ini mereka menonjolkan Anwar sebagai Perdana Menteri, tapi selepas Anwar siapa yang akan mengambilalih?

Bolehkah Pas dan DAP menerima terus menerus pemimpin PKR yang akan menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri? Atau bolehkah Pas menerima Kit Siang sebagai Perdana Menteri dan sebaliknya bolehkah DAP menerima Hadi?

Persoalan ini tidak boleh dianggap kecil oleh rakyat Malaysia kerana dalam jangka panjang ia akan melibatkan kestabilan dan keamanan negara. Suasana politik di Thainland seharusnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia yang tergila-gilakan Pakatan Rakyat selepas digula-gulakan dengan slogan `Perubahan Untuk Kemenangan Rakyat.'

Menumbangkan sebuah parti lain yang memerintah bukanlah matlamat sebenar politik demokrasi. Matlamat sebenar ialah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik.

Jika Pakatan Rakyat benar-benar serius untuk meyakinkan rakyat bahawa akan benar-benar membawa perubahan, mereka sendiri hendaklah menunjukkan bukti wujudnya mufakat dan kerjasama tulen antara Pas, DAP dan PKR bermula sekarang.

Rakyat wajar membuat penilaian dengan melihat kepada muafakat lawan mereka BN yang merupakan gabungan politik yang lebih stabil walaupun mempunyai lebih banyak parti komponen. Matlamat utama muafakat BN ialah mewujudkan perpaduan dan kemajuan untuk semua rakyat yang berlainan kaum dan agama atas dasar toleransi dan tolak ansur. Itulah formula yang membolehkan Perikatan dan kemudian BN diterima oleh rakyat dan memerintah selama 51 tahun.

Pada hemat penulis, adalah satu kesilapan yang besar jika ramai yang menyokong Pakatan Rakyat semata-mata disebabkan isu beberapa kelemahan BN yang dieksploitasi serakus-rakusnya oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sehinga sampai ke tahap mereka membenci parti yang tidak boleh dinafikan telah menjadikan Malaysia salah sebuah negara yang paling pesat membangun.

Demokrasi di Malaysia yang didakwa semakin sempit oleh Pakatan Rakyat sebenarnya semakin terbuka. Jika tidak, masakan Pakatan Rakyat boleh memerintah di lima negeri sekarang.

Memang benar beberapa media utama seperti akhbar dan TV masih dikuasi BN, tetapi lihatlah sekarang betapa beberapa akhbar seperti Harakah, Suara Keadilan, Sahsiah dan beberapa lagi amat jelas bukan sahaja propembangkang, tapi langsung tidak memberikan ruang kepada BN selain memuatkan cerita yang menghentamnya habis-habisan.

Selain media tradisional ini, pembangkang sejak tahun 1998 telah menggunakan dan menguasai media baru internet sebagai alat propaganda mereka sehingga ke peringkat yang `meloyakan' pembaca yang beradab dan bersopan-santun.

Maka kepada soalan benarkah Pakatan Rakyat merupakan alternatif yang lebih baik kepada BN, rakyat perlu mendapatkan jawapan yang tepat sekarang. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak pilih menyesal kemudian tidak berguna.

Jika Pakatan Rakyat benar-benar sebuah pakatan yang kukuh, wajar ditanya kenapa mereka masih bertanding di atas lambang masing-masing, tidak menggunakan satu lambang seperti BN? Pas dengan bulan gerhananya, DAP dengan roketnya dan PKR dengan `mata.' Tanpa bernaung di bawah satu lambang seperti BN, maknanya ketiga-tiga parti itu masih tidak ikhlas dan kukuh dalam muafakat mereka. Mereka masih saling mencurigai.

Muafakat sementara mereka yang longgar ini hanya diikat dengan tali yang mudah putus kerana dipintal hanya daripada kebencian dan dendam untuk menjatuhkan UMNO dan BN. Maka andainya ditadirkan mereka berkuasa kelak, dalam tempoh yang tidak panjang, muafakat yang longgar itu pasti akan terurai jika tidak terputus.

Jika itu berlaku, rakyat Malaysia akan berhadapan dengan suasana baru yang lebih tidak menentu dan tidak stabil. Barangkali sama seperti Thailand atau lebih teruk lagi. - malaysiaaktif.com

DIARI KUALA TERENGGANU - Bahagian 8
BASHIR AHMAD
7 Januari 2009

Sunday, January 11, 2009

Hudud Mania: Kit Siang tewaskan Hadi

DULU ceramah-ceramah Pas tak sah kalau tidak menjaja isu hudud. Di Kelantan, kerajaan pimpinan Nik Aziz bentang enakmen hudud untuk laksanakan hukum hudud. Kemudian Pas di bawah pimpinan Hadi Awang juga bentangkan enakmen hudud walaupun mereka tahu ia tidak boleh dilaksanakan.

Apa yang Nik Aziz dan Hadi buat hanyalah sekadar untuk menunjukkan kononnya Pas serius untuk melaksanakan hukum hudud. hakikatnya mereka tahu ia sukar dilaksanakan di Malaysia yang bersistem demokrasi berparlimen. Mesti mendapat sokongan bukan Islam jika mahu dilaksanakan. Lainlah jika demokrasi digantung dan pemerintahan diktator memaksa undang-undang hukum hudud dilaksanakan.




Tapi dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu, sudah tidak kedengaran penceramah-penceramah Pas menjaja isu hudud. Barangkali mereka telah dapat arahan supaya tidak menyentuh isu tersebut supaya tidak menyinggung perasaan DAP. Baru-baru-baru ini Lim Kit Siang dan Karpal Singh melenting apabila Naib Presiden Pas, Husam Musa bercakap kononya hukum hudud akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Persekutuan.

Kalau macam itu, sahlah Kit Siang, Karpal dan DAP lebih berkuasa dalam Pakatan Rakyat. Mana dia perjuangan dan semangat Islam sejati Pas. Disergah Kit Siang dan Karpal, Hadi pun arah penceramah-penceramah Pas tutup mulut di Kuala terengganu.

Maka benarlah mesej sebuah poster mini yang Si Keldai temui dalam blog bolokwokganu. Jika anda belum melihatnya, silalah renungi maksud poster di bawah ini yang berjudul Hudud Mania yang diilhamkan daripada kejohanan gusti paling popular Wrestle Mania anjuran World Wrestling Federation (WWF).

CUBIT-CUBIT
10 Januari 2009
(petikan www.malaysiaaktif.com)

Wednesday, January 7, 2009

Majlis rasmi markas PKR kucar-kacir

PAGI Rabu, 7 Januari sepatutnya disambut meriah oleh jentera pentadbiran dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana Markas PKR yang tersergam di Gong Kapas, dirasmikan.
Bangunan tiga tingkat yang baru siap itu dipasang dengan bendera besar Keadilan dan di depannya terbina beberapa khemah dengan lilitan plastik rentang dipapar dengan gambar wajah Anwar Ibrahim, Wan Azizah Ismail dan beberapa pemimpin kanan parti.

Sejak awal lagi, tempat letak kereta sebelah banguan sudah penuh tetapi penyokong tidak berduyun-duyun datang. Tidak ada kesesakan jalan raya di situ. Segalanya macam sunyi sepi.
Hairan juga, mana dia barisan penyokong dan kumpulan yang sentiasa membontoti Anwar ke majlis-majlis dan ceramah PKR atau lebih tepat pembangkang.

Malang tidak berbau rupanya. Majlis dicemari dengan peralatan mikrofon yang tidak berfungsi.
Sekejap ada, sekejap sepi. Bila kedengaran orang bercakap di barisan depan, suaranya seperti di dalam gua - perkataan diluahkan tidak kedengaran.
Di bahagian belakang khemah pula, periuk-periuk makanan tidak teratur. Air batu minuman hadirin tidak dapat digaul kerana ais belum tiba-tiba.
Sedang petugas PKR termasuk Naib Presiden Mustapha Kamal berulang-alik cuba meminta peralatan pembesar suara dibetulkan segera, Anwar pun muncul dengan dua kereta pengiring.
Mikrofon masih diuji lagi. Semua peralatan dibawa turun dari tingkat tiga dan terpaksa dipasang di bawah.

Keadaan kelam kabut. Pemandu Anwar mundar mandir dan ambil-alih operasi. Barulah mikrofon boleh digunakan itupun tidak sempurna.
Selepas majlis perasmian selesai, air minuman baru saja dibancuh. Orang ramai yang mengambil mihun merah terpaksa makan pakai tangan sebab tidak disediakan sudu atau garpu.
Anwar dan jemputan penting termasuk Mustafa Ali dan wakil DAP tidak merasai kesukaran itu kerana mereka dibawa naik ke tingkat tiga untuk dijamu dalam bilik berhawa dingin.
Anwar tidak boleh bercampur lagi dengan penyokongnya daripada golongan marhain?
Hai PKR jentera penganjur majlis sebegini pun tidak teratur. Macam kena sabo saja si Anwar ni.
Kan Gong Kapas antara kubu Pas dan beberapa meter dari markas PKR adalah bangunan UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

PKR dan Anwar masuk Terengganu dah dapat restu Presiden Pas, Hadi Awang kah?
Inilah parti yang hendak mentadbir negara. Satu majlis kecil pun gagal diurus dengan cekap dan licin.-malaysiaaktif.com

Nasir Sukiman
8 Jan 2009