Tuesday, December 9, 2008

Pertempuran Kuala Terengganu, Kayu Pengukur Bagi Menilai Sokongan Politik

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Beberapa persoalan yang kesemuanya berkisar sekitar kerusi Parlimen Kuala Terengganu kini hangat dibincangkan menjelang pilihan raya kecil kawasan itu pada 17 Jan depan.

Adakah angan-angan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambilalih kerajaan Persekutuan pada 16 Sept menyebabkan parti itu hilang sokongan dan kredibiliti dan adakah Barisan Nasional (BN) mampu memenangi semula hati pengundi kali ini di Kuala Terengganu?

Soalan itu muncul apabila kedua-dua pihak akan kembali bersemuka pada 17 Jan, kali ini bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang kini lebih dikenali sebagai "Pertempuran KT". Pencalonan pula ditetapkan pada 6 Jan.

Ramai penganalisis dan pemerhati politik berpendapat bahawa pilihan raya kecil itu agak penting dalam menentukan sokongan masa kini dan akan datang terhadap BN dan PR.

Lupakan tentang kemenangan besar Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini memandangkan kawasan itu sentiasa menjadi kubu kuat pemimpin pembangkang itu.

Kerusi Kuala Terengganu kosong selepas penyandangnya Datuk Razali Ismail meninggal dunia akibat serangan jantung baru-baru ini. Pada 2004, beliau menewaskan anggota EXCO PAS Syed Azman Syed Ahmad dengan 1,933 undi.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun ini, Razali, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, sebelum kematian mengejutkan itu, menang dengan majoriti 628 undi menewaskan orang kuat PAS Mohammad Sabu dan Maimun Yusuf, 89, dalam pertandingan tiga penjuru.



Perlu diingat, Kuala Terengganu bukanlah kerusi yang selamat sama ada bagi BN atau pembangkang kerana ia telah berubah tangan beberapa kali. BN menang pada 1986, 1990, 2004 dan 2008, tetapi Parti Melayu Semangat 46 memenangi kerusi itu pada 1995 manakala PAS pula menang pada 1999.

Pada pilihan raya umum tahun ini, PKR dan PAS sama-sama mengutip 33,729 undi bagi empat kerusdi Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Kuala Terengganu atau 1,795 undi lebih daripada kerusi Parlimen yang ditandingi calon PAS Mohamad Sabu.

Ini bermakna BN memperoleh 50 peratus daripada undi Parlimen dan 48.3 peratus daripada undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Walaupun PR hanya memenangi 49 peratus daripada undi persekutuan bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, ia menguasai pertandingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan yang sama dengan memenangi 51.7 peratus.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu sentiasa menjadi medan tempur tradisi antara BN (UMNO) dan PAS, dengan kedua belah pihak sentiasa melayannya penuh berhati-hati.

Bagi pilihan raya kecil akan datang, ia agak menarik untuk melihat sejauh mana kedua-dua pihak menarik sokongan pengundi, kira-kira lapan bulan selepas pilihan raya umum, untuk membuktikan populariti mereka.

Menurut Ketua Penerangan PKR Tian Chua, barisan pembangkang akan mengambil pendekatan "berkempen yang sofistikated" mengikut asas kepelbagaian kaum.

"Sebagai parti campuran(atau pelbagai kaum), kami mungkin menggunakan strategi berkempen yang berbeza memandangkan keperluan pengundi bandar berbeda (daripada pengundi luar bandar).

"Latar belakang sosio-ekonomi menjadi penentu keputusan mereka mengenai siapa yang akan menjadi pemenang, bukan kerana soal etnik," katanya sambil berkata barisan pembangkang optimis dengan peluangnya tetapi tidak mahu memperkecilkan pesaing lain dalam masa yang sama," katanya.

Tian Chua berkata beliau berasa "masalah dalaman di dalam Umno Terengganu" boleh mengurangkan prospek Umno.

Konflik dalaman Umno diketahui umum berhubung pemilihan calon-calon bahkan sebelum 8 Mac yang mencetuskan satu lagi kontroversi selepas pilihan raya berhubung pemilihan Menteri Besar Terengganu.

"Ia merupakan kawasan orang Melayu. Jika BN kalah di Kuala Terengganu, dakwaan UMNO bahawa ia masih mendapat sokongan (daripada orang Melayu) akan menjadi tanda tanya," katanya.

Bagaimanapun, sesetengah anggota Umno Terengganu menafikan anggapan mengenai wujudnya perbalahan dalaman kerana ia telah dapat dikurangkan.

"Umno Bahagian Kuala Terengganu kini bersatu dan ia dapat dilihat semasa persidangan perwakilan Umno bahagian baru-baru ini yang berjalan lancar tanpa pertandingan yang sengit," kata seorang anggota jawatankuasa Umno bahagian yang enggan memberikan namanya kepada Bernama.

Pada masa ini, nama Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh, yang juga Timbalan Menteri dalam Negeri, disebut-sebut sebagai calon mewakili BN.

Bagi sesetengah pemerhati politik, masalah dalaman merupakan satu fenomena biasa dalam mana-mana parti politik bahkan PAS sendiri menghadapi masalah yang sama pada masa-masa lepas -- antara golongan sederhana dan konservatif.

Sebagai contoh, pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti, setiap kelompok dikatakan mendesak pencalonan calon masing-masing. Golongan sederhana dikatakan memilih sama ada Mat Sabu atau Datuk Mustapha Ali untuk bertanding manakala puak konservatif memilih anak tempatan seperti Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu Wan Mutalib Embong.

Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, "Bohonglah jika saya berkata tidak ada perselisihan antara golongan sederhana dan konservatif. Tetapi apa yang penting adalah apabila calon telah diputuskan, semua kelompok akan akur kepada keputusan dan jentera parti akan bergerak sepenuhnya."

Tian Chua bersetuju dengan perkara itu dengan memberitahu jentera pilihan raya PAS sebenarnya berdisiplin dan ini menyebabkan kurangnya unsur sabotaj atau menentang sebaik keputusan dibuat.

Kali ini, Pas sudah menghantar isyarat awal bahawa parti itu mensasarkan kerusi Dewan Negeri kawasan Bandar, satu-satu kerusi Dewan Negeri di bawah Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN pada pilihan raya umum.

Kamaruddin berkata PAS akan meningkatkan tumpuannya pada kerusi Bandar dengan kebanyakan pengundi terdiri daripada bukan Melayu dan dalam masa yang sama mahu mengekalkan kerusi Dewan Negeri Batu Burok, Wakaf Mempelam dan Ladang, yang dimenangi pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

PAS mahu menarik lebih ramai pengundi bukan Melayu kali ini dan berpendapat trend pengundian di Terengganu tidak sama di peringkat nasional.

"Kami harap mereka akan memberikan kami peluang itu," kata Kamaruddin.

Bagi Pengerusi MCA Terengganu Toh Chin Yaw, beliau tidak terganggu dengan impian Pas itu memandangkan beliau optimis mendapat sokongan bukan Melayu, terutamanya 11 peratus undi orang Cina yang akan kekal di tangan BN.

Tetapi beliau berkata "BN perlu bekerja keras, bukan hanya untuk undi orang Cina tetapi juga undi kaum lain".

Toh merupakan satu-satunya anggota Exco bukan Melayu dalam kerajaan negeri Terengganu dan mempertahankan kerusi kawasan Bandar pada pilihan raya umum lepas manakala tiga yang lain jatuh ke tangan PAS.

"Saya fikir baki sokongan itu akan condong kepada BN. Apabila pilihan raya umum diadakan, BN kurang mendapat sokongan tetapi kami berupaya mengatasi kesulitan (bagi kerusi Bandar). Dengan perubahan senario sekarang, saya fikir kami dapat mempersembahkan yang terbaik, katanya sambil berkata banyak pengundi melahirkan rasa kesal dengan BN yang mengalami kekalahan pada banyak kerusi.

"Jika sentimen ini dan perkembangan terbaru diambilkira, PR akan berdepan dengan masalah berikutan kredibilitinya diragui berikutan kegagalan kempen 16 Septnya," katanya.

-- BERNAMA

No comments: