Monday, December 29, 2008

Pengundi Kuala Terengganu diminta buat pilihan wajar

KUALA TERENGGANU, 28 Dis (Bernama) -- Para pengundi di Kuala Terengganu diminta membuat pertimbangan wajar dalam memilih wakil mereka pada pilihan raya kecil 17 Januari ini bagi memastikan momentum pembangunan di kawasan itu berterusan.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata adalah merugikan sekiranya pembangunan yang pesat di bandaraya itu terhenti akibat salah percaturan dalam memilih pemimpin.

Beliau berkata momentum pembangunan yang terhenti sebelum ini, kini berjalan rancak di Kuala Terengganu selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan negeri daripada PAS apabila memenangi pilihan raya pada 2004.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata banyak perubahan fizikal berlaku seiring dengan pembangunan yang digerakkan oleh kerajaan seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pembinaan kompleks Stadium Gong Badak, pembinaan Taman Temadun Islam di Pulau Wan Man dan banyak lagi.

"Saya bimbang sekiranya rakyat tidak membuat pertimbangan yang tepat dalam pilihan raya nanti, dan tertipu dengan isu-isu kecil yang sengaja ditimbulkan oleh pihak yang cuba menangguk di air yang keruh, memontum pembangunan akan terhenti," katanya semasa berucap di majlis ramah mesra bersama Menteri Penerangan di Dewan Sivik Durian Burung, Wakaf Mempelam di sini, Ahad.

Shabery berkata jika rakyat memilih PAS semata-mata beranggapan parti itu memperjuangkan Islam, ia adalah kurang tepat kerana parti itu sendiri ketika ini tunduk kepada tekanan politik daripada rakan sekutunya.

-- BERNAMA

No comments: