Saturday, December 27, 2008

BN Yakin Tembusi Kubu Kuat Pas

KUALA TERENGGANU, 27 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yakin dapat menambah bilangan undi termasuk dari kawasan kubu kuat PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan depan berbanding yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata usaha yang dilakukan bagi menarik sokongan kepada BN terutama sejak pilihan raya umum itu, mendapat respons positif dari penduduk setempat.

Katanya perhatian khusus diberikan terhadap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai PAS iaitu Wakaf Mempelam, Ladang serta Batu Buruk namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan DUN Bandar yang dikuasai BN.

"Apa strategi yang kita gunakan untuk tarik pengundi, tak bolehlah saya beritahu, itu rahsia parti.

"Tetapi saya berkeyakinan, Insya-Allah kita dapat tambah undi di Wakaf Mempelam berdasarkan sambutan yang diberikan penduduk di sini terhadap langkah yang telah kita laksanakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidiladha di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad di Losong, di sini, Sabtu.

Calon BN pada pilihan raya kecil itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut hadir pada majlis itu.

Ahmad berkata usaha kerajaan membawa perubahan dan pembangunan di kawasan terlibat juga lebih mudah sekiranya kawasan itu dikuasai BN.

"Kalau inginkan perubahan dan pembangunan, kenalah pilih calon kita, kalau kita menang di sini, lebih banyak peruntukan dapat kita salurkan untuk kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata usaha gigih jentera parti dalam menarik sokongan rakyat di kawasan kubu kuat PAS semakin menampakkan hasil apabila sokongan rakyat kepada BN dilihat semakin meningkat.

"Gerakan yang telah kita dilaksanakan di kawasan ini mendapat hasil memberangsangkan. Saya harap sokongan yang diberikan penduduk di sini dapat diterjemahkan di peti undi," katanya.

-- BERNAMA

No comments: