Wednesday, December 31, 2008
Maimun calon upahan PKR?
Tok Mun atau Maimun Yusof kembali menjadi tumpuan. Ramai yang menunggu-nunggu reaksi beliau dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Disember ini. Apakah Tok Mun akan kembali bertanding? Jawapan yang keluar dari mulut Tok Mun ketika ditanya media, Tok Mun memberi alasan, beliau tak cukup duit. Juga serik ditipu oleh orang yang menggunakan namanya dalam satu laman blog. Kata Tok Mun kononnya ada orang yang mengaku mewakili beliau telah mengutip ratusan ribu ringgit untuk membantu beliau bertanding sekali lagi.
Inilah sebab yang membuatkan Tok Mun patah hati walaupun niat dan hasrat untuk kembali bertanding tak pernah padam. Khabar terbaru dari Kuala Lumpur, lain pula ceritanya. Tok Mun sedia bertanding sekali lagi sebagai calon bebas.
Tapi kali ini khabarnya Tok Mun tidak perlu lagi bersusah payah bergolok bergadai. Sudah ada pihak yang sanggup menaja Tok Mun. Beruntung sungguh Tok Mun. Mungkin kali ini Tok Mun tidak perlu lagi mengayuh basikal keliling kampung untuk berkempen. Mungkin juga kempen Tok Mun kali ini akan lebih tersusun kerana ada pihak yang menaja dan membantu.
Khabarnya Tok Mun sudah dirisik oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti Makhal Sakti. Jika betul, memang kuat betul aura Tok Mun. Soal beliau tidak tahu menulis dan membaca bukan satu perkiraan penting. Kerana di pihak yang menaja sudah jelas ada maksud tersirat. Tak perlu dipanjang-panjangkan niat di sebalik itu. Cukup mudah untuk difahami. Semua orang tahu pasal itu. Kalau nak diikutkan apalah sangat yang ada pada Tok Mun. Tidak lebih daripada seorang ‘pengacau’. Undi yang Tok Mun dapat pun hanyalah undi simpati.
Cuma kali ini apakah pula lambang yang bakal digunakan oleh Tok Mun jika apa yang dikhabarkan itu sememangnya satu kenyataan? Apakah Tok Mun akan sekali lagi menggunakan lambang kunci? Dan apakah Tok Mun akan terus berkempan dan berpegang pada sologan beliau – berkempen untuk ‘Parti Tanah Melayu Bersama Dalam Islam’.
Kalau diikutkan apa yang keluar dari mulut Tok Mun masa PRU-12 lalu, ramai yang kagum dengan semangat dan kegigihannya. Tapi pelik benar rasanya bila Tok Mun terima pelawaan PKR. Memang pelik dan penuh tanda tanya. Mana mungkin Tok Mun boleh beralih arah kerana Tok Mun sendiri pernah berkata, beliau tak percaya kepada mana-mana parti. Itu lah sebab utama yang mendorong beliau masuk bertanding.
Jika apa yang diperkatakan ini juga benar, ke mana perginya pegangan Tok Mun sebagai wanita gigih yang sanggup bergolok bergadai menggunakan seluruh wang simpanan menjual kain sebanyak RM10,000 untuk bertanding dalam PRU-12 lalu? Walaupun dipersenda dan hasratnya menjadi bahan guruan, Tok Mun tidak kisah dengan semua itu. Tok Mun tidak pernah menyesal menaburkan wang simpanannya hilang begitu saja. Kerana kata Tok Mun, wang boleh dicari dan dikumpul semula. Paling penting hasratnya sudah tercapai.
Dalam soal ini tentu Tok Mun punya alasan tersendiri. Cuma tunggu dan lihat akan kelibat Tok Mun kembali dengan kayuhan basikal atau mungkin kali ini berkereta lengkap dengan pemandu sekali!
Tuesday, December 30, 2008
Lewat umum calon, masalah Pas Terengganu - Nik Aziz
KUALA TERENGGANU 29 Dis. - Kelewatan mengumumkan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menonjolkan kegagalan Pas negeri mencapai kata sepakat dengan golongan ulama dan muda dalam parti itu.
Pas Terengganu juga dikatakan gagal mendapat sokongan mengenai calonnya daripada rakan pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai pilihan sendiri untuk diketengahkan sebagai calon.
''Ini masalah orang sini ( Pas Terengganu) dan bukan saya," kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas merasmikan jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dari Kelantan dan Wilayah Persekutuan di Masjid Hiliran di sini malam tadi.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak terlibat dalam pemilihan calon pilihan raya kecil tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Pas Terengganu.
Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil Pas, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun menafikan wujud masalah dalam menamakan calon parti itu untuk Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebaliknya menyifatkan kelewatan itu sebagai perkara biasa.
''Pas pada kebiasaannya mengumumkan calon yang akan bertanding sehari atau dua hari sebelum tarikh penamaan calon.
''Keputusan mengumumkan nama calon di Stadium Negeri di sini pada Khamis ini pun dikatakan awal daripada kebiasaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. (Utusan Malaysia)
Sanggup tunggu 30 tahun bukti Pas politikkan hudud
Utusan Malaysia (29 Dis 2008)
Oleh HERMAN HAMID
KUALA LUMPUR \ - Kesediaan Pas menunggu 30 tahun lagi untuk melaksanakan hudud jelas membuktikan parti itu selama ini hanya menggunakan hukum Allah bagi meraih undi kerana mereka sendiri tidak yakin menguatkuasakannya.
Tegas pemimpin-pemimpin UMNO, kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tersebut juga menjadi satu lagi bukti betapa dasar parti itu boleh berubah-ubah mengikut keperluan politik walaupun ia melibatkan hukum Allah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, polemik terbaru isu hudud memperlihatkan wajah sebenar Pas.
''Sebelum berkawan dengan bukan Islam, Pas dilihat beria-ia mahu melaksanakan hudud tetapi apabila DAP menjadi sekutu, segalanya boleh berubah sekelip mata hingga sanggup tunggu setengah abad untuk laksana hudud.
''Pada saya Pas memang tak minat hudud dari awal lagi. Selama ini mereka memilih bercakap pasal hudud sebab nak tarik undi orang Islam tetapi sekarang sebab nak jaga sokongan bukan Islam, pendirian mereka berubah.
''Saya tak tahulah di mana prinsip mereka. Dulu macam nak laksanakan (hudud) sangat-sangat tetapi sekarang kerana nak jaga DAP, macam-macam dolak-dalik,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Aziz semalam menyatakan Pas sanggup menunggu 30 tahun lagi untuk semua pihak sedia menerima hukum hudud kerana parti itu tidak mahu memaksa sekutu pembangkangnya.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi mengakui hudud bukan keutamaan kepada pakatan pembangkang sebaliknya yang harus ditekankan ialah aspek keamanan dan keadilan kepada rakyat.
Terdahulu, ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang dapat memerintah negara.
Kenyataan beliau itu mendapat tentangan daripada rakan pakatan pembangkang, DAP yang memang tidak dapat menerima pelaksanaan hukum tersebut.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar kesal kerana Pas sanggup meletakkan motif politik sehingga mengatasi dasar Islam yang mereka dakwa perjuangkan selama ini.
Kata beliau, pendirian terbaru Pas yang semakin longgar terhadap isu hudud setelah menerima tekanan DAP ternyata menunjukkan parti itu telah mempersendakan sesuatu yang menjadi hukum Allah.
''Kerana takutkan kuasa politik di kalangan bukan Melayu hilang, mereka boleh ubah pula pendirian. Tak eloklah, dalam soal agama kita kena telus dan ikhlas.
''Kiranya Pas ini memberi pengiktirafan kepada hukum Islam hanya berdasar perkiraan politik. Patut masyarakat mula memahami apakah tujuan dan niat mereka,'' jelasnya.
Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Pirdaus Ismail melihat kenyataan Nik Aziz itu sebagai helah untuk menutup isu tersebut setelah menerima reaksi negatif daripada rakan sekutu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kata beliau, masalah sebenar ialah soal ketidakmampuan untuk melaksanakannya dan inilah realiti politik semasa yang dihadapi dalam pelaksanaan hukum hudud dan qisas.
''UMNO sendiri tidak menolak hudud sebagai hukum Allah. Tetapi kerana wujud situasi dan halangan, hudud tak mampu dilaksanakan dan hal ini sudah dijelaskan kepada rakyat sekian lama sehingga akhirnya Pas pun mengakui hakikat itu,'' katanya.
Menurutnya, UMNO sekian lama meletakkan keutamaan untuk mengangkat kedudukan umat Islam dengan memperkasakan pendidikan dan ekonomi sejajar dengan fiqh alauwiyah atau fiqah keutamaan.
''Ini pun diakui Dewan Ulama Pas semalam dan hakikatnya UMNO dah lama buat macam itu. Patut mereka bersama pemerintah UMNO menjayakan matlamat ini,'' katanya.
Monday, December 29, 2008
Tok Mun Tidak Bertanding Dalam Pilihan Raya Nanti
KUALA TERENGGANU, 29 Dis (Bernama) -- Bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu yang mencuri tumpuan pada pilihan raya umum lepas, Maimun Yusof, 89, hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan depan.
Maimun atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata dia terpaksa melupakan niatnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, apabila tidak menerima sebarang wang untuk digunakan sebagai deposit bagi melayakkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
"Dok payoh (Tak payah) jumpa lagilah, tok tak mboh (tak nak) tanding doh. Takdok pitih (takde duit)... dok buleh buat apa doh (tak boleh buat apa dah)...Nok kumpul duit pun dah dok sempat (nak kumpul duit pun tak sempat)," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Gong Gemia di sini.
Tok Mun berkata walaupun sebelum ini satu laman blog telah diwujudkan bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang deposit dalam pilihan raya kecil itu, namun beliau mendakwa kesemua wang tersebut telah dilesapkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Warga emas itu mendakwa seorang penyokongnya yang turut membantunya dalam pilihan raya umum lepas telah memberitahunya bahawa laman blog tersebut telah berjaya mengutip kira-kira RM160,000.
Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini dia tidak menerima sesen pun wang daripada laman blog yang menggunakan namanya itu dan tidak pasti pihak yang terlibat dalam melesapkan wang tersebut.
Untuk mengelakkan namanya terus dipergunakan, Tok Mun telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 18 Dis lalu berhubung kejadian tersebut.
"Tok dah minta polis sekat laman blog tersebut, duit pun bukan dapat ke Tok. Tak payoh bagi ke situ (blog) lagi," katanya.
Tok Mun turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini dan kesal ada individu tertentu yang cuba mengaut keuntungan yang mudah dengan menggunakan namanya untuk mengutip wang.
Ditanya sama ada beliau masih berminat untuk bertanding jika ada sekiranya pihak mendermakan wang kepadanya dalam tempoh sebelum penamaan calon nanti, Tok Mun berkata: "Tak sempat dah...dah tak boleh buat apa-apa. Masa dah singkat sangat".
"Lagipun, selagi takdok pitih dalam tangan tak boleh cakap. Dah ada baru boleh cakap. InsyaAllah kalau Tok dipanjangkan umur lagi, Tok akan tanding dalam pilihan raya umum depan pulak," katanya.
Pada pilihan raya umum lepas, Maimun memperoleh 685 undi manakala bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili Barisan Nasional (32,562 undi) dan calon PAS, Mohamad Sabu (31,934 undi).
-- BERNAMA
Pengundi Kuala Terengganu diminta buat pilihan wajar
Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata adalah merugikan sekiranya pembangunan yang pesat di bandaraya itu terhenti akibat salah percaturan dalam memilih pemimpin.
Beliau berkata momentum pembangunan yang terhenti sebelum ini, kini berjalan rancak di Kuala Terengganu selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan negeri daripada PAS apabila memenangi pilihan raya pada 2004.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata banyak perubahan fizikal berlaku seiring dengan pembangunan yang digerakkan oleh kerajaan seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pembinaan kompleks Stadium Gong Badak, pembinaan Taman Temadun Islam di Pulau Wan Man dan banyak lagi.
"Saya bimbang sekiranya rakyat tidak membuat pertimbangan yang tepat dalam pilihan raya nanti, dan tertipu dengan isu-isu kecil yang sengaja ditimbulkan oleh pihak yang cuba menangguk di air yang keruh, memontum pembangunan akan terhenti," katanya semasa berucap di majlis ramah mesra bersama Menteri Penerangan di Dewan Sivik Durian Burung, Wakaf Mempelam di sini, Ahad.
Shabery berkata jika rakyat memilih PAS semata-mata beranggapan parti itu memperjuangkan Islam, ia adalah kurang tepat kerana parti itu sendiri ketika ini tunduk kepada tekanan politik daripada rakan sekutunya.
-- BERNAMA
Saturday, December 27, 2008
BN Yakin Tembusi Kubu Kuat Pas
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata usaha yang dilakukan bagi menarik sokongan kepada BN terutama sejak pilihan raya umum itu, mendapat respons positif dari penduduk setempat.
Katanya perhatian khusus diberikan terhadap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai PAS iaitu Wakaf Mempelam, Ladang serta Batu Buruk namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan DUN Bandar yang dikuasai BN.
"Apa strategi yang kita gunakan untuk tarik pengundi, tak bolehlah saya beritahu, itu rahsia parti.
"Tetapi saya berkeyakinan, Insya-Allah kita dapat tambah undi di Wakaf Mempelam berdasarkan sambutan yang diberikan penduduk di sini terhadap langkah yang telah kita laksanakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidiladha di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad di Losong, di sini, Sabtu.
Calon BN pada pilihan raya kecil itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut hadir pada majlis itu.
Ahmad berkata usaha kerajaan membawa perubahan dan pembangunan di kawasan terlibat juga lebih mudah sekiranya kawasan itu dikuasai BN.
"Kalau inginkan perubahan dan pembangunan, kenalah pilih calon kita, kalau kita menang di sini, lebih banyak peruntukan dapat kita salurkan untuk kawasan ini," katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata usaha gigih jentera parti dalam menarik sokongan rakyat di kawasan kubu kuat PAS semakin menampakkan hasil apabila sokongan rakyat kepada BN dilihat semakin meningkat.
"Gerakan yang telah kita dilaksanakan di kawasan ini mendapat hasil memberangsangkan. Saya harap sokongan yang diberikan penduduk di sini dapat diterjemahkan di peti undi," katanya.
-- BERNAMA
Thursday, December 25, 2008
SPR Sahkan Dua Borang Pencalonan Dibeli Setakat Ini
Pengarah Pilihan Raya (SPR) Terengganu Mohd Noor Daud berkata dua borang itu dibeli beberapa hari lalu, difahamkan oleh wakil calon yang akan bertanding.
"Bagaimanapun, setakat ini saya tidak dapat mengesahkan wakil itu dari parti mana," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan calon yang akan bertanding pilihan raya kecil itu tidak semestinya membeli borang pencalonan daripada SPR Terengganu, tetapi juga boleh mendapatkannya di ibu pejabat SPR di Putrajaya.
Mohd Noor berkata Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Mat Razali Kassim telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya untuk pilihan raya kecil itu.
Selain itu, katanya, SPR juga telah bersedia daripada segi logistik yang diperlukan untuk proses pengundian dan penamaan calon pilihan raya kecil itu pada 6 Jan.
"Selain kira-kira 20 kakitangan SPR di negeri ini, kita juga telah memberi kursus dan taklimat kepada lebih 800 kakitangan sementara terdiri daripada kakitangan kerajaan yang akan bertugas membantu memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar," katanya.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Genting Highlands, Pahang pada 28 November lalu.
Barisan Nasional (BN) mencalonkan Ketua Umno Bahagian kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh manakala PAS yang telah mengesahkan akan bertanding, akan mengumumkan calon mereka pada 1 Jan.
Selain itu, beberapa calon Bebas juga dijangka bertanding iaitu dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), bekas calon Bebas Parlimen Rantau Panjang, Kelantan, Isma Airfath Hassanuddin, 38, dan bekas calon Bebas Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusof, 89.
Mengikut daftar pemilih setakat September lepas, terdapat 80,229 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dengan 1,035 daripadanya adalah pengundi pos.
Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lepas, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden PAAS Mohamad Sabu dan Maimun dengan majoriti 628 undi.
Kawasan Parlimen Kuala Terengganu meliputi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Burok.
DUN Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok dikuasai PAS manakala kerusi Bandar dipegang oleh BBN.
Mengikut senarai daftar pengundi pilihan raya umum lepas, pengundi Melayu merupakan majoriti di Kuala Terengganu iaitu 88.3 peratus manakala Cina (11.1 peratus), India (0.4 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).
-- BERNAMA
