Sunday, January 4, 2009

Cakap Wan Muttalib kepada TV3 tidak betul

CUBIT-CUBIT
2 Januari 2009


BULETIN Utama TV3 mamelaporkan Wan Muttalib Wan Embong, Ketua Operasi Pilihan Raya Kecil KT Pas memberi jaminan bahawa parti itu tidak akan menyerang peribadi calon BN, Wan Ahmad Farid.
Bagi Si Keldai, jika benar Wan Muttalib berkata demikian, beliau tidak bercakap betul.

Lupakah beliau yang Haji Hadi Awang semasa berucap mengumumkan nama calon Pas di Stadium Negeri, Kuala Terengganu malam tadi antara lain berkata ``calon Pas tidak menyanyi karaoke dengan perempuan dan tidak rasuah.''

Ramai yang ketawa mendengar cakap Tuan Guru. Mereka faham maksud `ulama besar' Pas itu kerana mereka telah membaca cerita blog (blog puak Pas?) yang disiarkan bersama gambar( lihat gambar dibawah) Wan Farid sedang menyanyi karaoke. Dalam gambar itu kelihatan seorang wanita di sebelah Wan Farid.

Kenapa Haji Hadi membangkitkan soal `calon Pas tidak menyanyi karaoke dengan perempuan' sedangkan Wan Farid telah menjelaskan dalam media bahawa gambar yang disiarkan dalam blog nakal itu dirakamkan dalam majlis keluarga dan wanita tersebut adalah anak saudara perempuannya. Apa salahnya menyanyi karaoke dalam majlis keluarga dan duduk sebelah anak saudara?

Sahabat karib politik Haji Hadi yang bernama `Syeikh' Anwar Ibrahim juga pernah menyanyi karaoke dalam satu majlis (bukan majlis keluarga) dan menari dengan seorang wanita Cina dalam satu majlis (juga bukan majlis keluarga).

Kalau perbuatan Wan Farid salah, tentulah `Syeikh' Anwar 10 kali salah. Tapi kenapa Haji Hadi dan Pas menyokong kuat `Syeikh' Anwar untuk jadi Perdana Menteri?

Wan Muttalib pula satu hal. Apa fasal bercakap temberang dengan TV3? Adakah beliau tidak faham apa yang Haji Hadi maksudkan dengan `calon Pas tidak menyanyi karaoke dengan perempaun.'

Wang Muttalib duduk dekat di belakang Haji Hadi semasa Presiden Pas itu berucap. Barangkali beliau terlena ketika itu. Maklumlah jadi Ketua Operasi Pilihan Raya Kecil KT banyak kerja. Terpaksa bersengkang mata setiap malam. Kalau beliau tidak mendengar ucapan bosnya, maka beliau tidak menjalankan tugas dengan betul.

Apa yang Haji Hadi cakapkan malam tadi adalah `amanat.' Itulah juga yang diumumkan oleh pengerusi majlis. Amanat...amanat...amanat untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Jika Haji Hadi sudah siang-siang lagi menyerang peribadi calon lawan, maknanya Wan Muttalib tidak bercakap benar. Pemimpin sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam, tidak bercakap benar. Apa hukum orang yang tidak bercakap benar?

SI KELDAI

Coretan Nganukite : Cerita Di Sebalik Sotong Celup Tepung

Bila dah ada di Kuala Terengganu ni, kesempatan yang ada Awang ambil untuk jumpa rakan lama. Maklum lah lama tak jumpa banyak yang nak dibualkan. Awang tak berapa faham selok belok Kuala Terengganu ni, nak berbual panjang, apa kata kita gi makan ikan salut tepung di pantai Batu Rakit, dia mempelawa. Katanya kat situ ada sebuah gerai yang sedap kalau nak makan makanan laut yang dicelup tepung.

Awang ikut sahaja lah. Dek kerana hujan, kami pandu kereta agak perlahan. Jadi ada lah peluang untuk Awang melihat-lihat pemandangan sekitar sepanjang perjalanan. Awang yang dah lapan tahun tak datang ke negari ini, agak terperanjat melihat pembangunan sekitar. Hebat. Berdetik di hati Awang. Lapangan terbang baru, stadium baru, kompleks Universiti Malaysia Terengganu dan banyak lagi.

Kerana leka dengan apa yang Awang lihat, tak sedar kami dah sampai ke tempat dituju. Memang benar kata rakan Awang. Walaupun hujan renyai-renyai, deretan kerata membuktikan rakan Awang tidak berbohong. Sambil duduk menjamah, terdengar di telinga Awang, beberapa orang yang duduk di meja belakang Awang berborak dalam bahasa Terenganu, bercakap tentang isu-isu pilihan raya.

Apa lagi Awang pasang telinga. Banyak yang mereka ceritakan. Topik perbualan, apa lagi kalau bukan mengutuk Barisan Nasional dan UMNO. Sah mereka ini penyokong kuat PAS. Bagi mereka apa yang BN buat tak betul belaka. Ada sahaja salahnya. Itu tak patut lah. Ini tak baik lah. Macam-macam. Itu belum masuk bab kutuk mengutuk pemimpin-pemimpin UMNO negeri. Ada sahaja silap dan tidak kena pada mereka.

Bagi Awang, biar lah. Itu hak mereka. Menentukan siapa pemimpin juga hak dan tanggungjawab mereka. Tapi bagi Awang mudah sahaja. Kalau kita tak suka apa yang kerajaan sudah buat, mengutuk apa juga projek-projek yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan BN Terengganu, jangan gunakan. Tapi mereka ni bagi Awang tak sedar, dalam mengutuk dan menghentam, meraka juga yang tanpa segan silu pergi ke Pulau Wan Man memuji kecantikan Masjid Kristal, menggunakan lapangan terbang dan mereka juga yang dapat untung berniaga apabila ramai orang ke Terengganu. Tu belum masuk soal pendidikan dengan tersergamnya Universiti Malaysia Terengganu, Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia dan Universiti Darul Iman . Untuk apa semua itu, kalau bukan untuk anak-anak Terengganu juga!

Entahlah. Apa sebenarnya yang mereka inginkan. Susah untuk Awang katakan. Sambil makan, Awang terus curu-curi dengar apa yang mereka bualkan. Sehinggakan rakan Awang yang sejak tadi perasan dengan perbuatan curi-curi dengar perbualan mereka, mencelah. Biarkan lah. Dah begitu menteliti mereka. Susah nak ubah.

Awang tak setuju dengan pandangan rakan Awang. Pada pandangan Awang, menteliti mereka ini boleh diperbetulkan. Tidak susah jika mereka semua tahu mensyukuri apa yang mereka perolehi hari ini. Mungkin bunyinya agak sedikit kasar tapi itu lah hakikatnya.- nganukite.blogspot

Saturday, January 3, 2009

Coretan Nganukite : Kari Manis

Bukan saja kari, gadis Nganukite juga manis-manis belaka

ORANG kata jika kuah kari dan sambal yang sepatutnya pedas, menjadi manis, susahlah.
Apatah lagi ditambah gulai kawah yang kelihatan coklat akibat dimasukkan gula Melaka sekali.
Namun, bagi penggemar kari Mamak dari Kuala Lumpur yang terpaksa bersarapan roti canai dengan gulai manis di gerai-gerai dan restoran Ngantukite, kehadiran sebuah gerai khas di Mydin Mall, Jalan Sultan Mohamad, akhirnya menjadi pengubat rindu.


Gerai yang dibuka 24 jam itu juga akhirnya boleh dijadikan tempat melepak bagi petugas yang berkumpul di negeri penyu bertelur ini bagi membuat liputan pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.
Karinya tetap mewarisi keenakan rempah ratus dan kepedasan sederhana seperti kuah di restoran mamak di hampir setiap pelusuk bandar dan bandar baru di tengah dan sekitar KL.
Tapi usah salah sangka, di Nganukite, bukan saja roti canai dan kari manis dihidangkan, boleh dikatakan semua jenis kuih pun manis-manis belaka.

Anda juga jangan terkejut, kebanyakan pengendali gerai di tepi jalan seperti Jalan Kuala Berang, Marang, adalah wanita dibantu anak gadis kecil molek.
Nasi minyak, kuah kawah bersama acar dan nasi lemak sambal manis dibungkus sejak lepas solat Subuh lagi. Selain diletakkan di gerai, ia diedar oleh wanita menunggang motosikal yang juga membonceng pelbagai jenis roti dari kedai Melayu kita.


Gerai keropok lekor juga diurus wanita belaka. Jelas wanita lebih gigih berniaga bukan saja di Pasar Payang malah di hampir semua gerai dan restoran Nganukite. Syabas wanita Nganukite.
Sempena pilihanraya kecil KT kali ini, seperti biasa ramai kaum lelaki dan golongan tua sejak selepas azan Subuh lagi sudah pun berada di masjid-masjid terutama di kubu kuat Pas di Wakaf Mempelam.

Di Singgahsana, iaitu kediaman persinggahan sebelah masjid utama di Wakaf Mempelam, pemuda Pas mengambil kesempatan daripada solat Jumaat kelmarin untuk berkempen.
Jalan raya yang terhalang oleh tiga, empat lapis kereta jemaah terus sesak namun begitulah aksi golongan taksub kepada Adun Pas, Mohamad Abdul Wahid Endut yang akan menentang Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 17 Januari ini.
Salam perkenalan kari dan gulai manis Nganukite, takpele sebab yang menghidangkannya pun si gadis comel putih melepak manis-manis belaka! -nganukite.blogspot

Pilih Parti Bukan Individu

Dari semalam lagi awang dok borak nga member yang baru sampai dari KL mengenai calon BN dan calon PAS, semua orang asyik memberi pandangan beza-beza. Awang pun kata hok dok bising-bising masa pengumuman calon PAS dalam Stadium negeri kata PRK Kuala Terengganu ni bukan antara individu tapi antara parti iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kalu nak gitu awang raso baik kita kata semua pilih la parti bukang pilih calon. hok sedap benar, celik-celik mata hari ni ,belik surat khabar utusan. pun setuju nga awang.

Tapi tok tahu la ,tengok keadaan warga pengundi Kuala Nganu la, kalu takdok isu panas pasti akan buat pilihan bijak mengekalkan calon yang mewakili parti yang telah terbukti dengan
melaksanakan janji mereka.



Awang akan buat siri coretan bersama member awang yang baru sampai ni untuk artikel yang akan datang

Friday, January 2, 2009

PAS Jangan Sembunyi Hakikat

PAS nampaknya awal-awal lagi sudah memukul canang. Waktu proses pengumuman calon di Stadium Negeri, Kuala Terengganu kelmarin, pemimpin PAS mahupun pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat nampak bersungguh-sungguh menyakinkan pengundi agar berani untuk melakukan perubahan kepimpinan di Parlimen Kuala Terengganu.



Walaupun tarikh berkempen sebenar belum tiba, PAS dan Pakatan Rakyat seperti tidak sabar-sabar. Ketika diberi kesempatan berucap, masing-masing sempat menyelitkan mesej menghentam kerajaan Barisan Nasional dan pemimpin-pemimpin UMNO. Seolah-olah tidak ada langsung kebaikan yang UMNO dan BN lakukan di Terengganu selama ini. Nyata buruk benar pandangan dan anggapan mereka terhadap pemimpin-pemimpin UMNO dan BN. Apakah ini caranya pemimpin-pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat untuk memancing undi dan sokongan dengan mengajar mereka untuk membenci dan menghina orang lain? Adakah itu yang diajar oleh Islam?

PAS sendiri rasanya sudah berulang kali mengingatkan penyokongnya agar jangan menyerang atau memburuk-burukkan peribadi calon lawan. Tapi nampak gayanya, pemimpin PAS sendiri yang beria-ia membuka cerita. Apa sudah jadi!

Bukan setakat membuka keburukan pemimpin lawan, kerajaan Terengganu juga dituduh zalim dan mengkhianati rakyat. Apa yang telah pemimpin BN dan UMNO Terengganu sudah buat sehingga dituduh sedemikian rupa? Apakah dengan hanya menganjurkan kejohanan Piala Monson, kerajaan Terengganu dituduh zalim terhadap rakyat? Seperti yang dikatakan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang sebelum memperkenalkan calon PAS kelmarin, penganjuran kejohanan itu tidak membawa sebarang faedah dan manfaat kepada rakyat Terengganu.

Bagi PAS adalah lebih baik jika kos penganjurannya disalurkan kepada pembangunan rakyat miskin. Rasanya, selama ini kerajaan Terengganu tidak pernah melupakan rakyat termiskin. Sudah banyak yang dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup golongan ini. Umpamanya dalam bajet 2009, objektif utamanya ialah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan memilih tema ‘Merakyatkan Pembangunan’ sebagai slogan bajet. Atau dengan lain perkataan, sebarang perancangan dan perlaksanaan pembangunan negeri, syarat utama yang diperhalusi islah, mesti mengutamakan kepentingan dan memberi keuntungan secara total kepada rakyat Terengganu.

Apakah semua ini belum cukup bagi rakyat Terengganu atau beliau lupa atau sengaja menyembunyikan fakta. Jangan lah kerana ingin mencari pengaruh kita tutup mata melihat apa yang berlaku disekeliling kita. Piala Monson bukan calang-calang perlumbaan perahu layar. Ia bertaraf dunia. Sudah pasti mendapat liputan meluas media antarabangsa. Impaknya tentu besar kepada Terengganu – memperkenalkan lagi Terengganu yang unik budaya dan pulau-pulau percutiannya yang bertaraf dunia.

Pemimpin PAS jangan cuba menyembunyikan hakikat. Sepanjang Piala Monson, berapa ramai pelancong luar yang membanjiri Terengganu? Siapa yang menempah penginapan di hotel-hotel atau membelanjakan ribuan ringgit, kalau bukan mereka ini. Sudah pasti manfaatnya besar kepada rakyat Terengganu – pengusaha hotel, peniaga makanan dan para peniaga lainnya – siapa yang untung di sebalik semua ini kalau bukan anak tempatan.-nganukite.blogspot

Hj Abd Wahid Endut diumum calon PAS tanpa kehadiran orang kuat PAS Kelantan.

Pengumuman calon PAS bagi PRK P036 oleh Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang telah dibuat di Stadium Negeri Kuala Terengganu dengan kebenaran istimewa dari kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said. Nganukite dimaklumkan oleh awang yang berada di Stadium .

Awang kato memang sah calon PAS Hj Abd Wahid Endut , Adun Wakaf Mempelam walaupun ramai hok sangka Mat Sabu ataupun Dr Syed Azman.

Apa yang pelik dikatakan oleh Awang ialah ketiadaan oleh orang-orang kuat PAS dari Kelantan, seperti Husam Musa (Naib Presiden) ataupun Musyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat. Kalu Tok Guru Nik Aziz tak hadir Awang faham, mungkin dia uzur tapi Husam ni menimbulkan sejuta tanda tanya.

Mano gak husam ni weh...tok tahu la mungkin tok kene (tak setuju) dengan calon tu ko? tok tahu la wehhh......

Tapi hok sedap benar Wakil PKR tuh kato kalu sokong calon PAS serupo sokong Pakatan Rakyat....kalu gitu gak....sapo hok kuat dalam pakatan rakyat??? PKR la..hok sokong Makhal Sakti..... guano tuh gu...



Kecek-kecek dalam Stadium tu kato...Husam ni tak leh gi (tak sebulu ) ngan Nasharuddin Mat Isa (timbalan Presiden PAS)....guano bolot (kelam-kabut)benar nampok.....tok tahu la betul ko dok...awang tak moh campur tangan...

Fikir-fikir la rakyat Kuala nganu.......- awang-ganukite.blogspot

Thursday, January 1, 2009

Laporan Media Mesti Tepat

Pihak media sekali lagi diingatkan agar menyampaikan maklumat tepat dan terkini kepada rakyat terutama menjelang pilihan raya kecil Perlimen Kuala Terengganu kali ini. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menganggap sebagai petugas media, mereka memikul satu tanggungjawab berat dalam dalam melaporkan sesuatu isu bagi memastikan setiap laporan bersih daripada sebarang unsur fitnah yang boleh menjejaskan mana-mana pihak.

Menurut beliau, petugas media bukan sahaja perlu memiliki ‘telinga yang hebat’ tetapi juga perlu mempunyai pemikiran yang tajam kerana kebiasaannya isu-isu yang dibangkitkan sepanjang pilihan raya banyak yang sensitif dan pihak media perlu peka dan tidak menyentuh atau melaporkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti banyak pihak.

Ketika berucap merasmikan pusat media khusus untuk pilihan raya kali ini, beliau turut menyuarakan rasa kesal terhadap tindak tanduk pembangkang yang tidak henti-henti membangkitkan isu yang pada anggapan beliau sudah tidak lagi relevan dan boleh mengelirukan rakyat terutamanya isu royalti minyak.

Sambil menganggap pembangkang tidak mempunyai modal, beliau menegaskan isu pembayaran royalti minyak kepada Terengganu oleh Kerajaan Pusat sudah selesai di mana bayaran pertama akan dibuat pada Mac 2009 dan seterusnya pada September berikutnya di mana pembayaran dibuat dua kali setahun.

Beliau turut menyangkal dakwaan pembangkang bahawa royalti minyak tidak membawa banyak manfaat kepada penduduk Terengganu sebaliknya menganggap bayaran tersebut telah banyak mengubah lanskap negeri tersebut. Selain membangunkan kemudahan prasarana, dana tersebut banyak disalurkan untuk tujuan pembangunan pendidikan anak-anak negeri.

Buktinya, selama lapan tahun berturut-turut Terengganu kekal di tangga pertama dalam pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Begitu juga dengan peningkatan kecemerlangan yang ditunjukkan melalui pencapaian pelajar-pelajar di seluruh Terengganu dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan dalam bajet negeri tahun ini, akan lebih banyak tumpuan dan perhatian diberikan untuk pembangunan negeri. Antaranya termasuklah memperuntukan RM100 juta untuk pembangunan ladang kelapa sawit dan RM50 juta untuk projek penanaman padi di mana kedua-duanya bertujuan untuk mempertingkatkan pencapaian ekonomi penduduk miskin.

Mengenai tuduhan berterusan yang dibangkitkan oleh pembangkang tentang isu undi hantu, Ahmad Said mengatakan rasa kesal kerana menurut beliau sudah sampai masanya semua pihak bersikap rasional dan matang dalam isu ini. Menurut beliau isu tersebut sudah lama berlalu dan terbukti tidak benar kerana pembangkang sendiri pernah menguasai Terengganu dan Kelantan serta di empat negeri dalam pilihan raya lalu. Tetapi setiap kali pilihan raya, isu tersebut terus dibangkitkan untuk mengelirukan rakyat. -nganukite.blogspot.com